Pelajaran 5. Berapa jumlahnya di dalam dolar? 7-9 minit untuk dibaca

Apabila anda menganalisis carta, anda memerhatikan aras-aras teknikal. Anda fikirkan tentang berapa banyak pip yang anda boleh dapat dengan urusniaga anda. Anda juga boleh melihat keuntungan atau kerugian untuk posisi aktif anda yang ditunjukkan dalam matawang akaun anda.

"Apakah logik di sebalik angka-angka tersebut? Bagaimanakah boleh saya urus dan kawal keuntungan saya?"

Berapa keuntungan yang boleh anda dapat?

Bayangkan anda sedang menikmati hari yang menyenangkan sekali dan meraih 1000 poin. Berapakah jumlahnya di dalam dolar? Itu bergantung.

Anggaplah ia sebagai penyediaan suatu masakan. Lebih banyak kuantiti bahan yang anda tambah, lebih banyak portion yang anda akan ada. Dolar adalah ramuan anda, input anda, atau boleh juga kami katakan sebagai pelaburan anda. Lebih banyak yang anda pertaruhkan dalam suatu urusniaga, lebih banyak keuntungan yang anda akan dapat. Pada masa yang sama, risiko anda juga meningkat: bagaimana jika anda memilih suhu yang salah dan merosakkan masakan anda? Dalam kes ini, lebih sedikit kuantiti bahan yang anda gunakan untuk memasak, lebih banyak bahan mentah yang masih berbaki.

"Sekarang saya sudah nampak. Ia seperti satu perkadaran!"

Ya. Anda boleh urus input anda dalam perdagangan. Untuk melakukan itu, pilih saiz urusniaga anda dalam sebutan lot. Lebih banyak lot anda dagangkan, lebih tinggi keuntungan/kerugian yang dibawakan oleh setiap poin dalam $.

Mari kita lihat satu contoh dengan EURUSD.

Jika anda membuka urusniaga sebesar 0.01 lot dan matawang akaun anda adalah USD, keuntungan 1 poin adalah bernilai 1 sen.

Jika matawang akaun anda adalah USD dan anda membuka urusniaga sebesar 1 lot, keuntungan 1 poin adalah bernilai $1 untuk anda.

Jadi, mari kita kembali ke 1000 poin kita.

Dalam kes pertama (volum urusniaga = 0.01 lot), anda akan memperoleh 1000*$0.01 = $10.

Dalam kes kedua (volum urusniaga= 1 lot), anda akan memperoleh 1000*$1 = $1000.

Wah! Berbeza sekali!

"Saya perlu fikirkan lagi tentang ini. Satu dunia baharu telah terbuka luas untuk saya!"

Lumrahnya, anda pasti mahukan keuntungan yang lebih besar. Namun, semuanya haruslah seimbang. Bagaimana jika anda rugi 1000 poin? Dalam kes ini, sama ada anda rugi $10 atau $1,000. Itu membuat anda berfikir dua kali, bukan? Kami telah 'potong stim' anda?

Jangan risau, kami akan menerangkan cara untuk mengurangkan potensi kerugian dan pada masa yang sama memaksimumkan keuntungan anda.

Bagaimana cara memilih saiz urusniaga?

Perkara yang paling penting di sini ialah menguruskan dana anda. Dengan berbuat demikian, anda mengawal risiko anda dan memastikan bahawa jumlah yang anda telah laburkan dalam perdagangan memberikan manfaat yang paling besar kepada anda.

Jangan letak semua telur anda dalam satu bakul!

"Jangan letak semua telur anda dalam satu bakul!"

Itu hanyalah kata pepatah, tetapi ia mengandungi banyak hikmah. Kami akan jelaskan maksudnya.

Anda membuka akaun dan memasukkan wang ke dalamnya. Perkara pertama yang anda mahu, sudah tentu, menggunakannya untuk berdagang, bukan?

Tunggu dahulu!

Berbilion pedagang telah saling berkongsi pengalaman dan merumuskan petua keramat dalam menentukan volum urusniaga.

Petua keramat volum urusnniaga: saiz yang optimum bagi satu urusniaga ialah 1-5% daripada deposit anda.

Dalam erti kata lain, jika anda ingin gunakan $10 untuk urusniaga, anda harus mempunyai sekurang-kurangnya $200 di akaun anda (dalam kes ini, $10 membentuk 5% daripada akaun anda).

Mari kita bincangkan dengan lebih terbuka: Amat jelas sekali, bukan semua pedagang menghormati petua keramat ini, tetapi mereka yang berdisiplin, sabar dan berhati-hati mematuhinya dengan taat. Pedagang yang melulu dan hentam keromo pula tidak mengira wang mereka. Bolehkah anda meneka pedagang mana yang mengekalkan dan melipatgandakan dana mereka dan yang mana pula akhirnya ranap akaunnya? Tidak semua pedagang berjaya dan ini salah satu sebab utama mengapa ia berlaku. Matlamat anda adalah untuk menjadi salah seorang dari mereka yang berdagang dengan menguntungkan. Sekarang anda tahu apa yang perlu dilakukan!

"OK, saya bukan pakar matematik, tetapi ini saya boleh faham: saya darabkan nilai akaun saya dengan 0.05 dan saya dapat saiz urusniaga saya dalam $."

Kenapa pedagang menggunakan petua keramat volum urusniaga?

Sebabnya mudah sahaja. Bayangkan anda menggunakan keseluruhan akaun anda untuk urusniaga anda. Sesuatu berlaku di pasaran, dan perdagangan anda menyongsang arah. Anda benar-benar terkejut dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membuka urusniaga lain. Nasib malang? Tidak. Ia adalah keputusan yang buruk, bukan untung rugi nasib anda!

Sekarang mari kita pertimbangkan situasi lain. Apabila anda merisikokan 5% daripada akaun anda, contohnya, $10 daripada $200, anda mempunyai wang yang mencukupi untuk membuka 20 urusniaga. Ini bermakna jika urusniaga tidak berjalan dengan baik, anda akan mempunyai banyak lagi peluang untuk mencuba idea perdagangan lain.

Walaupun hanya separuh daripada urusniaga ini berjaya, dengan pengurusan risiko yang wajar anda boleh memperoleh jumlah yang lebih besar dengan modal permulaan $200 anda. Ini bermakna anda mencatat keuntungan!

"Bagaimana jika 5% dari akaun saya adalah jumlah yang terlalu kecil untuk membuka urusniaga? Akaun saya tidaklah begitu besar buat masa ini!"

Volum urusniaga terkecil yang boleh anda pilih ialah 0.01 lot. Dari segi monetari, itu ialah 1000 unit matawang asas, biasanya 1000 USD atau 1000 EUR. Itu bukan jumlah yang kecil untuk satu urusniaga. Dan jika itu hanya 1% atau 5% dari suatu akaun…

Faedah dan manfaat leveraj

Kami telah menjelaskan bahawa leveraj membolehkan anda meminjam wang daripada broker untuk membuka urusniaga dengan saiz yang lebih besar. Ini bermakna walaupun untuk membuka urusniaga dengan volum terkecil (0.01 atau $1,000), anda boleh menggunakan $10 atau malah $1 (dengan leveraj 1:100 anda memerlukan $100 dan dengan leveraj 1:1000 anda memerlukan $1).

Anda biasanya boleh memilih leveraj dalam tetapan akaun anda di Laman Peribadi anda. Leveraj menentukan bantuan yang anda boleh dapat daripada broker. Lebih besar leveraj, lebih besar bantuan. Dengan kata lain, lebih besar leveraj, lebih kecil jumlah yang anda perlukan untuk membuka urusniaga dengan saiz yang sama.

1.jpg

Leveraj mana yang harus digunakan?

Sekilas pandang, jawapannya jelas: pilih leveraj terbesar yang boleh dan laburkan hanya sedikit daripada modal anda sendiri bila berdagang.

Sekali lagi: tunggu dahulu! Sentiasa awas bahawa risiko anda juga meningkat dengan leveraj. Jika anda membuka urusniaga beli, tetapi harganya sedang menurun, setiap poin pergerakan harga yang melawan anda akan membawakan kerugian yang lebih besar kepada anda apabila anda menggunakan leveraj yang lebih besar. Jadi, anda harus berhati-hati dan memilih saiz leveraj yang munasabah.

Untuk golongan pemula, leveraj 1:100 biasanya dianggap sebagai pilihan yang baik: ia tidak terlalu besar atau terlalu kecil.

"Saya sudah nampak sekarang! Saya akan mulakan dengan leveraj 1:100!"

Memilih volum pesanan

Kita telah sampai ke bahagian yang paling menarik! Kami yakin anda sudah tidak sabar-sabar untuk membuka banyak pesanan di platform perdagangan anda, dan anda ingin tahu apa sebenarnya yang perlu diisi ke dalam ruangan "Volum".

"Memanglah! Saya sudah faham tentang 1-5% dari keseluruhan modal di akaun dan saya sudah fahami maklumat tentang leveraj. Tetapi saya tidak pasti apa sebenarnya yang perlu dilakukan secara tepat!"

Ideanya di sini, anda harus mempertimbangkan beberapa perkara secara bersama: amaun wang yang anda mahu ketepikan sebagai margin untuk perdagangan (dalam kes ini, anda menggunakan petua keramat 1-5% dari akaun) dan leveraj (ia akan mengubah margin anda menjadi saiz urusniaga yang sebenar dan lebih besar). Ini akan membolehkan anda melihat berapa banyak lot yang anda boleh dagangkan.

Jika anda dapati $20 adalah saiz yang optimum untuk suatu urusniaga dan anda menggunakan 1:1000 sebagai nisbah leveraj anda, anda akan dagangkan $20,000 dalam urusniaga tersebut. Itu 0.2 lot. Justeru, anda bolehlah masukkan angka ini ke dalam ruangan "Volum".

2.jpg

Sesetengah pedagang lebih suka menggunakan volum urusniaga yang sama dalam sebutan lot untuk setiap urusniaga mereka. Ini satu konsep yang sangat mudah: apabila anda telah menemui volum yang selesa untuk anda, anda boleh jadikan angka tersebut sebagai pegangan anda. Strategi ini mudah dilaksanakan untuk golongan pemula kerana, selepas melakukan pengiraan awal anda boleh berhenti memikirkan tentang volum dan hanya memilih volum yang sama setiap kalinya. Ia mampu memastikan pertumbuhan akaun yang stabil untuk anda.

Adalah disyorkan untuk memilih saiz urusniaga yang kecil pada peringkat awal. Kemudian, apabila anda sudah berpengalaman, dan akaun anda menjadi lebih besar, anda boleh memilih untuk meningkatkan volum urusniaga anda.

Contoh

Anda ada $500 dalam akaun anda. Dengan leveraj 1:1000, jumlah ini akan mencukupi untuk membuat 500 urusniaga bersaiz 0.01 lot setiap satu, 50 urusniaga bersaiz 0.1 lot setiap satu atau 5 urusniaga bersaiz 1 lot setiap satu. Pilihan lain ialah 25 urusniaga bersaiz 0.2 lot setiap satu. Ada lebih banyak lagi pilihan selain dari ini! Jika anda menguruskan risiko anda, akaun anda akan mengucapkan "Terima kasih!" kepada anda.

"Wah! Mudah sahaja rupanya. Saya suka semua pilihan yang saya ada ini!"

Jika anda mengikut logik yang digariskan di atas, anda akan menggunakan formula berikut:

Lot untuk didagangkan = Ekuiti * % Risiko * Leveraj / Saiz Kontrak

Dengan akaun yang berisi $500 dan risiko 5%, pengiraannya seperti berikut:

$500 * 0.05 * 1000 / 100,000=0.25

Ekuiti bermaksud nilai suatu akaun jika semua posisi ditutup (iaitu ia mengambil kira keuntungan/kerugian pada urusniaga anda yang masih sedang berjalan).

Anda juga boleh mengambil kira situasi di carta harga dan saiz Renti Rugi yang anda perlukan untuk urusniaga anda. Begini cara kami melaraskan formula tadi:

Lot untuk didagangkan = Ekuiti * % Risiko / (Renti Rugi dalam Poin * Nilai Poin)

Dalam kes ini, anda tahu berapa saiz SL yang anda mahukan dan anda juga tahu berapa banyak yang dibawakan oleh setiap pip aksi harga.

Contoh

Anda telah nampak betapa harga telah gagal untuk turun melepasi 139.030 dan ia pun berpatah balik ke bawah. Anda membuka urusniaga BELI pada aras harga 139.100 dengan Renti Rugi terletak di aras harga terendah sebelum ini, iaitu di 139.030 (SL = 70 poin). Ambilan Untung anda diletakkan di 139.610.

3.png

Jika anda perlukan Renti Rugi 70 poin, anda boleh dagangkan 0.5 lot. Nilai poin anda ialah $0.36. Gunakan Kalkulator Forex untuk mendapat angka-angka tepat untuk setiap urusniaga.

Berapa banyak wang yang anda perlukan untuk bermula dalam perdagangan 

"Sekarang saya sudah faham cara untuk memilih volum urusniaga. Perkara yang saya tidak begitu pasti ialah berapa banyak yang perlu saya depositkan ke akaun saya untuk berdagang."

Jumlah wang yang anda perlukan untuk mulakan berdagang bergantung pada jenis akaun pilihan anda.

Ingat apa yang telah kita pelajari:

Deposit anda menentukan saiz urusniaga anda...

…jadi saiz urusniaga yang anda ingin buka menentukan jumlah deposit anda!

Jika anda membeli 0.01 lot EURUSD dan leveraj anda ialah 1:100, anda memerlukan $10 sebagai margin untuk urusniaga. Jika anda depositkan $10 ke akaun, deposit anda akan dapat menampung margin ini dan anda akan dapat membuka empat lagi urusniaga bersaiz ini. Setiap poin aksi harga akan memberikan anda keuntungan atau kerugian sebanyak $0.1.

Mari kita pertimbangkan beberapa pilihan yang baik untuk seorang pedagang pemula. Contoh yang kami bawakan di sini adalah selamat dan kukuh dari sudut pengurusan risiko.

Deposit = $100

Jumlah risiko untuk satu urusniaga tunggal haruslah kurang dari 5%, tidak kira berapa besar deposit anda. Mari kita gunakan risiko sebanyak 3% ($3 atau $3000 dengan leveraj 1:1000). Jika anda dagangkan 0.01 lot, setiap poin pergerakan harga adalah bersamaan dengan $0.01. Dengan membahagikan $3 dengan $0.01 kita mendapat 300 poin. Inilah Renti Rugi yang anda mampu adakan. Ini lebih daripada cukup untuk urusniaga yang anda buka selama beberapa jam. Adalah disyorkan bahawa Ambilan Untung anda lebih besar dari Renti Rugi anda kira-kira sebanyak 3 kali ganda. Justeru, anda akan menyasarkan untuk meraih keuntungan sebanyak 900 poin ($9) di dalam urusniaga ini.

"Dengan merisikokan $3 bagi setiap satu urusniaga, saya akan berpeluang meraih $9! Dan jika urusniaga ini berkesudahan rugi, saya masih mempunyai $97 di akaun saya. Bagus!"

Benar. Nisbah $3/$9 ini dikenali sebagai nisbah risiko/ganjaran. Dengan cara ini, satu urusniaga yang baik ($9) akan membolehkan anda mempunyai tiga dagangan yang buruk dan anda masih tidak menanggung apa-apa kerugian. Analisis pasaran yang akan kita kupas dalam pelajaran seterusnya akan membantu anda mengurangkan bilangan urusniaga buruk dan dengan itu memperoleh keuntungan selepas beberapa urusniaga. Ini adalah hujah yang menyokong penetapan volum urusniaga secara cermat dan mempunyai nisbah risiko/ganjaran yang betul.

Deposit = $500

Bagaimana jika deposit anda ialah $500? Dengan risiko 3% ($15), saiz urusniaga anda boleh menjadi 0.15 lot. Dalam kes ini, setiap poin yang menguntungkan/merugikan akan bernilai $0.15. Dengan saiz posisi yang lebih besar, anda akan dapat memperoleh wang dengan lebih cepat! Akan ada 100 poin untuk Renti Rugi. Jika anda memerlukan Renti Rugi yang lebih jauh jaraknya, anda boleh berdagang sebesar 0.1 lot, menjadikan setiap pip bernnilai $0.1. Renti Rugi akan menjadi 150 poin. Dengan risiko 5% ($25), anda boleh menikmati SL sejauh 250 poin. Keuntungan dalam kes ini (jika Ambilan Untung anda 3 kali lebih besar) ialah $75.

Deposit = $1000

Jika deposit anda ialah $1000, anda, tentu sekali, mampu membuka urusniaga yang lebih besar lagi. Risiko 3% untuk setiap urusniaga ($30) dan leveraj 1:1000 akan membolehkan anda berdagang 0.3 lot. Risiko 10% ($100) akan membolehkan anda berdagang 1 lot. Dalam kes ini, keuntungan sebanyak 300 poin akan menyumbang keuntungan sebanyak $300. Risiko optimum $30 satu urusniaga akan membolehkan anda berdagang 0.1 lot dengan SL sejauh 300 poin. Potensi keuntungan ialah $90.

Hal-hal yang perlu diingat tentang pengurusan akaun

Satu lagi perkara penting: ingat tentang Panggilan Margin dan Stop Out. Panggilan Margin ialah tahap margin yang dibenarkan iaitu 40% atau lebih rendah. Pada saat ini, syarikat berhak, tetapi tidak boleh dipertanggungjawabkan, untuk menutup semua posisi aktif pelanggan lantaran dari margin bebas yang tidak mencukupi. Stop Out ialah aras margin minimum yang dibenarkan (20% dan ke bawah), di mana program perdagangan akan mula menutup posisi aktif pelanggan satu demi satu untuk mengelakkan kerugian selanjutnya yang akan membawa kepada baki negatif (kurang dari $0).

Jika anda patuh dengan peraturan pengurusan risiko dan tidak meletakkan kesemua deposit anda dalam satu urusniaga sekaligus, anda akan selamat daripada Panggilan Margin dan Stop Out.

Ingat bahawa ada tersedia akaun demo yang membolehkan anda berlatih berdagang tanpa perlu melaburkan walaupun satu dolar sekali pun. Atau satu euro. Atau satu apa sahaja. Saiz akaun demo di FBS boleh mencapai sehingga $1 juta. Akaun demo akan membolehkan anda berlatih membuk pesanan dan menetapkan saiz posisi. Gunakan jumlah benar-benar seperti yang anda rancang untuk laburkan dalam perdagangan. Dalam kes ini, segala-galanya akan lebih realistik dan anda boleh berlatih berdagang, serta mendapat gambaran yang jelas bagaimana saiz akaun anda boleh berubah apabila anda berdagang secara sebenar.

Ringkasan pelajaran

  • Semakin besar urusniaga yang anda buka, semakin besar keuntungan/kerugian untuk setiap poin pergerakan harga;

  • Penyelesaian terbaik dari sudut pengurusan risiko ialah dengan mengehadkan saiz setiap urusniaga kepada 5% dari saiz akaun;

  • Leveraj membolehkan pedagang membuka urusniaga dengan volum yang lebih besar;

  • Deposit dan saiz urusniaga saling menentukan satu sama lain.

Seterusnya

Di dalam pelajaran seterusnya, anda akan belajar cara-cara menganalisis pasaran untuk mendapatkan idea perdagangan beli dan jual.

Kongsi kepada rakan-rakan: