Pelajaran 2. Pola candlestick penyongsangan 10-12 minit untuk dibaca

Pedagang Jepun telah mencipta banyak pola candlestick. Kesemuanya masih relevan dan ampuh setelah zaman-berzaman. Bukan setakat pedagang runcit sahaja, malah syarikat gergasi kewangan pun turut menganalisis carta candlestick untuk meramalkan momentum selanjutnya. Jika pedagang melihat pola candlestick dan ia sangat dikenali, mereka mematuhi signal pola tersebut. Akibatnya, kebarangkalian keberkesanan signal adalah tinggi.

Terdapat dua kategori pola candlestick yang utama: pola penyongsangan dan pola penerusan. Pelajaran ini didedikasikan khusus untuk pola penyongsangan.

Pola candlestick penyongsangan membentuk sekumpulan pola-pola candlestick yang menunjukkan bahawa trend akan berubah arah atau membuat pembetulan yang mendalam.

"Jadi, adakah ini bermakna bila saya mendengarkan istilah "pola penyongsangan", perubahan trend akan terus berlaku waktu itu juga?"

Alangkah bagusnya jika ia begitu! Namun, hakikatnya, perubahan trend datang secara perlahan-lahan, langkah demi langkah. Pola candlestick penyongsangan menunjukkan bahawa trend yang sedang berlangsung mungkin akan berubah, tetapi tidak semestinya ia akan berlaku.

Ada dua faktor yang meningkatkan kekuatan signal yang diberikan oleh pola penyongsangan:

  1. Trend sebelumnya kuat dan curam;

  2. Pola penyongsangan muncul berhampiran aras rintangan atau sokongan yang kuat.

Pola-pola Bullish

Kami akan mulakan dengan pola bullish yang menunjukkan penyongsangan harga ke arah atas. Ia muncul pada penghujung downtrend.

Hammer (Tukul)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 1;

2. Kekerapan: tinggi;

3. Warna: ia tidak penting, tetapi lebih baik jika bullish;

4. Ciri-ciri utama: badan yang pendek, bayang atas yang pendek, bayang bawah yang panjang.

1.png

Sudah tentu, pola penyongsangan kegemaran Thor ialah Hammer. Rupanya memang kelihatan seperti sebuah tukul! Candlestick ini mempunyai bayang bawah yang panjang, yang harus sekurang-kurangnya dua kali ganda panjang tubuhnya. Hammer menunjukkan bahawa walaupun bears mampu menarik harga ke paras terendah baru, mereka gagal mengekalkannya di sana dan mereka kalah dalam pertarungan dengan pembeli pada penghujung tempoh perdagangan.

Signal hammer lebih andal (boleh dipercayai dan diharapkan) apabila:

  • Hammer terbentuk selepas downtrend yang panjang;

  • Hammer diikuti oleh sebatang candlestick yang ditutup di atas harga pembukaan hammer tersebut.

Inverted Hammer (Tukul Terbalik)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Sederhana;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish, warna kedua tidak penting;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick pertama berada dalam downtrend, candlestick kedua tidak mempunyai bayang bawah atau ia sangat pendek, dan bayang atasnya panjang. Badan candlestick kedua bersaiz kecil.

2.png

Pola ini ialah pola hammer yang diterbalikkan. Walau bagaimanapun, selain daripada hammer, setup ini memerlukan candlestick bearish muncul sebelum inverted hammer itu sendiri. Signalnya lebih andal apabila candlestick kedua bullish. Pola ini memerlukan pengesahan dalam bentuk penembusan zon rintangan terdekat atau garisan trend.

Morning Star (Bintang Pagi)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Sederhana;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish, candlestick kedua adalah bullish/bearish, dan candlestick ketiga bullish;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick pertama berada di dalam downtrend, candlestick yang kedua muncul selepas senggang (gap) ke bawah, candlestick ketiga dibuka dengan senggang ke atas, dan candlestick ketiga ditutup lebih tinggi dari paras 50% badan candlestick pertama.

3.png

Di sini ada sedikit ilmu astronomi untuk anda! "Bintang pagi" (morning star) ialah nama panggilan untuk planet Utarid. Jika anda mendongak ke langit dan dapat melihatnya, matahari akan mula terbit tidak lama lagi. Begitulah juga dengan harga: apabila "bintang pagi" muncul, itu bermakna harga akan naik.

Candlestick pertama pola ini wajib bearish, dengan badan yang besar. Candlestick kedua harus dibuka dengan senggang ke bawah (di bawah badan candlestick pertama) dan mempunyai badan yang kecil. Ia menunjukkan bahawa penjual semakin lemah. Warna candlestick ini tidak penting. Candlestick ketiga harus menutup senggang bearish sebelum ini. Ia wajib bullish dan ditutup lebih tinggi dari bahagian tengah candlestick pertama.

Signal morning stars lebih andal apabila:

  • Pola ini muncul selepas suatu downtrend yang kuat;

  • Pola ini disahkan oleh penembusan garisan trend atau zon rintangan terdekat.

"Hmm…Nampaknya mesti kena ada senggang antara candlestick-candlestick morning star. Adakah peraturan ini terpakai untuk semua aset dan carta?"

Bintang pagi yang ideal sememangnya menuntut adanya senggang harga antara candlestick yang membentuknya. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah pasaran, mungkin ada pengecualian untuk peraturan ini, di mana harga buka dan tutup adalah sama atau hampir antara satu sama lain. Anda boleh menemui pola seperti ini di pasaran Forex dan pada carta-carta intrahari (contohnya, carta 5 minit atau 15 minit).

Morning Doji Star (Bintang Doji Pagi)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish, candlestick kedua adalah bullish/bearish, dan candlestick ketiga bullish;

4. Key features: Pola ini hampir sama seperti morning star, tetapi candlestick kedua adalah doji.

4.png

 Anda mungkin sudah dapat meneka dari namanya, morning doji star boleh dikatakan sama seperti morning star biasa, tetapi candlestick kedua ialah doji. Ia memberikan signal yang lebih kuat berbanding doji star yang biasa.

Piercing Line (Garisan Menusuk)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Sederhana;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish, candlestick kedua adalah bullish;

4. Ciri-ciri utama: candlestick muncul semasa downtrend. Candlestick kedua dibuka di bawah atau sama dengan harga minimum candlestick sebelumnya. Harga penutupan candlestick kedua harus lebih tinggi dari bahagian tengah badan candlestick pertama, tetapi di bawah harga pembukaan candlestick pertama.

5.png

Piercing line dikenali sebagai salah satu pola penyongsangan bullish yang klasik. Harga membentuk senggang menurun selepas candlestick bearish yang pertama, tetapi bulls jadi lebih kuat dan menolak harga naik. Candlestick pertama mestilah besar dan bearish. Candlestick kedua mesti bullish dan dibuka di bawah atau separas dengan harga minimum candlestick pertama. Harga penutupan candlestick kedua mestilah di bawah harga pembukaan candlestick pertama. Badan kedua-dua candlestick seharusnya cukup rendah. Pola ini memerlukan pengesahan dalam bentuk penembusan aras-aras yang signifikan atau garisan trend.

Bullish Harami (Harami Bullish)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Kerap;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish, dan candlestick kedua adalah bullish;

4. Ciri-ciri utama: candlestick muncul semasa downtrend. Candlestick kedua hendaklah terkandung dalam julat badan candlestick pertama (candlestick kedua harus berada di antara harga pembukaan dan harga penutupan candlestick pertama).

6.png

Perkataan “Harami” bermaksud hamil dalam bahasa Jepun. Ini bukan satu kebetulan: pola ini tampak seperti candlestick yang hendak bersalin! Candlestick pertama panjang dan bearish, manakala yang kedua adalah kecil. Tambahan lagi, candlestick kedua haruslah “di dalam” badan candlestick pertama. Signal penyongsangan adalah lebih kuat apabila candlestick selepas pola ini ditutup di atas harga penutup candlestick kedua ("bayi").

Bulllish Harami Cross (Palang Harami Bullish)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish, candlestick kedua adalah doji;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick muncul semasa downtrend. Candlestick kedua haruslah sebutir doji di dalam badan candlestick pertama.

7.png

Situasi ini sama seperti apa yang berlaku bila harami bullish terbentuk, tetapi yang candlestick kedua di sini ialah sebutir doji. Pola ini lebih kuat daripada pola versi biasa.

Three Inside Up

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Kerap;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish dan candlestick kedua adalah bullish;

4. Ciri-ciri utama: Lanjutan daripada pola harami bullish.

8.png

Ini ialah lanjutan daripada pola harami bullish yang ditemui oleh Gregory Morris. Selepas pola bullish harami, candlestick ketiga berfungsi sebagai pengesahan penyongsangan. Ia ditutup di atas harga candlestick kedua. Harga pembukaan candlestick kedua boleh sama dengan harga penutupan candlestick pertama. Situasi apabila harga penutupan candlestick kedua adalah sama dengan harga pembukaan candlestick pertama juga boleh diterima. Walau bagaimanapun, kedua-dua pengecualian ini tidak boleh berlaku dalam masa yang sama. Dalam pola ini, bayang-bayang tidak penting.

Tweezers Bottom

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2, tetapi anda boleh menambah lebih banyak candlesticks;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Tidak penting;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick boleh mempunyai sebarang bentuk kecuali four-price doji. Harga minimum haruslah sama seperti paras terendah candlestick sebelumnya.

9.png

Walaupun pola ini jarang muncul di carta, ia lazimnya boleh diandalkan. Apabila anda berdagang dengan pola ini, kunci kejayaan adalah dengan mencari candlestick yang mempunyai harga minimum yang sama yang muncul pada penghujung suatu downtrend.

Pola Bullish Engulfing

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Kerap;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bearish, candlestick kedua adalah bullish;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick muncul semasa downtrend. Candlestick kedua harus dibuka lebih rendah daripada paras terendah candlestick pertama dan ditutup lebih tinggi daripada paras tertingginya.

10.png

Pola bullish yang lazim dikesan dan menandakan penyongsangan ke arah atas. Pola ini menghasilkan signal penyongsangan yang kuat kerana aksi harga bullish benar-benar "menelan" candlestick bullish. Semakin besar perbezaan saiz antara dua candlestick ini, lebih kuat signal beli yang diberikannya.

Three White Soldiers

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Bullish;

4. Ciri-ciri utama: Jujukan 3 candlestick bullish. Yang pertama muncul sebagai sebahagian daripada downtrend. Setiap candlestick harus dibuka dalam julat badan candlestick sebelumnya, lebih baik lagi jika di atas paras tengah candlestick sebelumnya. Setiap candlestick ditutup pada paras tinggi baharu, menghampiri harga maksimumnya.

11.png

Ini adalah pola yang jarang-jarang muncul tapi memberikan signal penyongsangan yang kuat. Ketiga-tiga candlestick harus mempunyai badan yang besar. Selepas candlestick yang pertama, candlestick yang kedua dibuka dalam julat badan candlestick yang pertama dan ditutup di atasnya. Candlestick ketiga harus dibuka di dalam julat badan candlestick kedua dan ditutup di atasnya. Fuh, kami ingin anda tahu tentang pola penyongsangan bullish penting ini! Di luar sana, ada lebih banyak lagi pola seperti ini, tetapi mereka tidak muncul pada carta dengan kerap. Sekarang, mari kita ketahui pola-pola utama yang memberikan isyarat penyongsangan ke arah bawah.

Pola-pola Bearish

Dalam bahagian ini, kita akan meninjau pola-pola candlestick penyongsangan bearish dengan lebih dekat. Selain pola candlestick penyongsangan bullish, pola jenis ini memberi signal penyongsangan ke arah bawah.

Shooting Star (Tahi Bintang)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlesticks: 1;

2. Kekerapan: Tinggi;

3. Warna: Ia tidak penting, tetapi lebih baik jika bearish;

4. Ciri-ciri utama: Badan yang pendek, bayang atas dua kali lebih panjang daripada badan, bayang bawah yang kecil.

12.png

Ini salah satu pola candlestick penyongsangan yang paling ketara kelihatan semasa uptrend. Apabila anda melihatnya, jangan lupa berdoa dikurniakan signal jual! Bayang atas yang panjang menunjukkan kepada kita bahawa harga tidak lagi diterima oleh para pemain pasaran. Badan pola ini haruslah kecil, dan begitu jugalah bayang bawahnya.

Signal penyongsangan dianggap lebih kuat apabila:

  1. Bayang atasnya sangat panjang;

  2. Ada senggang harga antara candlestick yang terdahulu dan shooting star;

  3. Candlestick adalah bearish.

Evening Star (Bintang Malam)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Sederhana;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bullish, warna candlestick kedua tidak penting, dan candlestick ketiga adalah bearish;

4. Ciri-ciri utama: candlestick pertama adalah panjang, candlestick yang kedua mempunyai badan yang kecil, dan yang ketiga biasanya lebih panjang daripada yang pertama. Terdapat senggang harga ke atas antara candlestick yang pertama dan yang kedua. Candlestick ketiga menutup senggang bullish tadi.

13.png

"Dari rupanya sahaja, ia sudah jelas kelihatan seperti penyongsangan ke arah bawah!"

Tepat sekali. Lebih kerap anda melihatnya di carta, lebih mudah untuk anda mengesan pola penyongsangan dan bertindak berdasarkannya.

Evening Doji Star (Bintang Doji Malam)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bullish, candlestick kedua adalah doji, dan candlestick ketiga adalah bearish;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick pertama dan ketiga adalah panjang, dan candlestick kedua adalah doji.

14.png

Ini adalah pola yang sama seperti evening star, tetapi candlestick kedua mestilah doji. Walaupun ia jarang terbentuk, isyarat yang diberikan oleh pola ini adalah kuat, terutamanya jika ada senggang terbentuk antara candlestick.

Hanging Man (Orang Kena Gantung)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 1;

2. Kekerapan: Tinggi;

3. Warna: Tidak penting;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick ini mempunyai badan yang kecil dan bayang bawah yang panjang.

15.png

Adakah itu hammer? Bukan, ini hanging man (orang kena gantung)! Selain daripada pola hammer, pola yang ini muncul pada penghujung uptrend. Ia boleh menandakan tamatnya suatu uptrend, puncak harga di carta, atau aras rintangan. Candlestick ini mempunyai bayang bawah yang panjang, yang harus sekurang-kurangnya dua kali lebih panjang dari badan. Candlestick ini boleh berwarna apa pun, namun jika ia bearish, isyaratnya lebih kuat.

Pola ini dianggap sah bila sebuah candlestick bearish tutup di bawah harga buka candlesitck di sebelah kiri pola ini.

Dark Cloud Cover (Awan Mendung)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Sederhana;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bullish, dan candlestick kedua adalah bearish;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick pertama adalah panjang, candlestick yang kedua harus dibuka di atas candlestick yang pertama dan ditutup di bawah paras 50% badan candlestick pertama.

16.png

Ini adalah versi bearish untuk pola piercing line. Candlestick kedua yang bearish menguji harga-harga tinggi di atas candlestick pertama, tetapi gagal mengekalkan momentum bullish. Akibatnya, harga menyongsang ke bawah. Pengesahan dalam bentuk penembusan aras sokongan menjadikan signal ini lebih kuat.

Bearish Harami (Harami Bearish)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Kerap;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bullish, dan candlestick kedua adalah bearish;

4. Ciri-ciri utama: candlestick muncul semasa uptrend. Candlestick kedua hendaklah terkandung dalam julat badan candlestick pertama (candlestick kedua harus berada di antara harga pembukaan dan harga penutupan candlestick pertama).

Candlestick "hamil" muncul pada penghujung aliran menaik. Iaitu, badan candlestick kedua terkandung sepenuhnya dalam badan candlestick pertama dan mempunyai warna yang bertentangan. Signal pola ini dianggap sahih apabila candlestick berikutnya adalah besar dan bearish.

17.png

Bearish Harami Cross (Palang Harami Bearish)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bullish, dan candlestick kedua adalah doji;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick muncul semasa uptrend. Candlestick kedua haruslah sebutir doji di dalam badan candlestick pertama.

Ini adalah setup yang jarang-jarang berlaku dengan candlestick doji terkandung di dalam badan candlestick pertama. Signalnya dikira kuat jika candlestick seterusnya selepas pola ini membentuk senggang harga menurun.

18.png

Three Inside Down

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Kerap;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bullish, candlestick kedua adalah bearish, dan candlestick ketiga adalah bearish.

4. Ciri-ciri utama: Lanjutan daripada pola harami bearish.

19.png

Menurut Gregory Morris, candlestick ketiga yang ditutup di bawah harga penutupan candlestick kedua adalah sangat penting sehingga ia harus dijadikan sebahagian daripada pola harami bearish. Bayang-bayang di pola candlestick ini tidak penting. Pola ini dikira sahih apabila aras sokongan atau garisan trend ditembusi.

Tweezers Top

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2, tetapi anda boleh menambah lebih banyak candlestick;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Tidak penting;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick boleh mempunyai sebarang bentuk kecuali four-price doji. Harga maksimum candlestick kedua harus sama dengan harga maksimum candlestick pertama.

20.png

Pola unik yang memberikan signal penyongsangan arah ke bawah. Candlestick ini boleh mempunyai sebarang bentuk kecuali four-price doji.

Bearish Engulfing

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 2;

2. Kekerapan: Kerap;

3. Warna: Candlestick pertama adalah bullish, dan candlestick kedua adalah bearish;

4. Ciri-ciri utama: Candlestick muncul semasa uptrend. Candlestick kedua harus dibuka lebih tinggi dari paras tertinggi candlestick pertama dan ditutup lebih rendah dari paras terendahnya.

21.png

Anda boleh menemui pola ini pada carta dengan sangat kerap. Selepas candlestick bullish, candlestick yang kedua adalah bearish dan dibuka di atas harga maksimum candlestick pertama. Signal dianggap sahih jika ia ditutup di bawah harga minimum candlestick pertama. Pola ini menghasilkan signal penyongsangan yang kuat kerana aksi harga "menelan" candlestick bullish sepenuhnya. Lebih besar perbezaan saiz di antara kedua-dua candlestick, signal jual dianggap lebih kuat.

Three Black Crows (Tiga Gagak Hitam)

Ciri-ciri utama:

1. Bilangan candlestick: 3;

2. Kekerapan: Rendah;

3. Warna: Bearish;

4. Ciri-ciri utama: Jujukan 3 candlestick bearish. Setiap candlestick harus dibuka dalam julat badan candlestick sebelumnya, lebih baik lagi jika di atas paras 50% candlestick sebelumnya. Setiap candlestick ditutup pada paras rendah baharu, menghampiri harga minimumnya.

22.png

Tiga candlestick bearish menandakan permulaan trend. Pola ini boleh dianggap andal. Walau bagaimanapun, lebih baik untuk menunggu pengesahan. Ini mungkin kelihatan seperti candlestick bearish dengan harga penutupan yang lebih rendah atau senggang ke bawah.

Kami telah memperkenalkan anda kepada jenis-jenis pola candlestick penyongsangan yang utama. Kami amat mengesyorkan agar anda menyimpan pelajaran ini atau membuat nota untuk pemahaman yang lebih baik dan pembelajaran yang lebih pantas. Mari rangkumkan apa yang telah kita pelajari!

Ringkasan pelajaran

  • Pola candlestick penyongsangan adalah sekumpulan pola-pola candlestick yang menunjukkan bahawa trend akan berubah arah atau membuat pembetulan yang mendalam;

  • Terdapat pola candlestick penyongsangan bullish dan bearish. Pola candlestick bullish adalah petanda bagi penyongsangan ke atas, manakala pola candlestick bearish menandakan penyongsangan ke arah bawah;

  • Pola candlestick penyongsangan menunjukkan bahawa penyongsangan berkemungkinan berlaku, tetapi tidak semestinya. Untuk penyongsangan berlaku, trend yang mendahului pola harus kuat dan curam;

  • Ada banyak sekali pola candlestick. Yang paling terkenal ialah stars, harami, pola engulfing, hammer, dan hanging man. Kebanyakannya memerlukan pengesahan dalam bentuk penembusan aras yang signifikan;

  • Signal pola adalah lebih kuat jika pola itu terdiri daripada palang (ada doji).

Seterusnya

Dalam pelajaran seterusnya, kita akan meninjau pola-pola yang menunjukkan kepada kita kekuatan suatu trend. Ia dikenali sebagai pola penerusan atau pola kesinambungan.

Kongsi kepada rakan-rakan: